SEMINAR WAKAF ASEAN BINCANG AMALAN TADBIR URUS, PEMBIAYAAN & PEMBANGUNAN WAKAF

SONGKLA, 13 OKT 2016 - Bertemakan “Amalan Terbaik Tadbir Urus, Pembiayaan dan Pembangunan Wakaf di ASEAN” telah diadakan Seminar Wakaf ASEAN kali ke 3 (Muktamar Waqf Iqlimi III 2016) bertempat di Masjid Ban Nua, Songkla, Thailand. Seminar anjuran Pusat Pembangunan dan Pembiayaan Wakaf (PPPW), Universiti Sains Islam Malaysia yang diketuai oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr Mohammad Haji Alias selaku Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Pusat, Thailand (Central Islamic Council of Thailand (CICOT); Yayasan Darul Naeem, Chana Songkhla; Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla; Yayasan Darul Furqan, Chana Songkhla, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), USIM.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Hj Alias, Pengarah Pusat Pembiayaan Pembangunan Wakaf USIM, seminar ini dihadiri oleh para akademik daripada negara ASEAN iaitu daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina serta Negara Timur Tengah iaitu negara Iran dan Emirates, juga turut serta oleh 100 Imam serta wakil-wakil Yayasan Pendidikan yang mewakili komuniti Islam di Selatan Thailand. Ia telah  dirasmikan oleh Sahibus Samahah Sheikh Abdul Aziz Phitakkumpon, Sheikul Islam Thailand (gelaran mufti).

“Komuniti Muslim Thailand juga menerima sumbangan wakaf daripada negara-negara Islam seperti dari Timur Tengah. Secara umumnya sumbangan wakaf sangat signifikan dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat minoriti Muslim di Thailand. Keunikan wakaf ini sangat relevan dalam memperkasakan keperluan hidup beragama Islam di negara yang penduduknya majoriti beragama Budha. Sistem wakaf juga telah berjaya menyatukan hati masyarakat Muslim berpusatkan masjid dalam membina sebuah komuniti yang bersatu”, jelas Prof. Dato’ Dr. Mohammad Hj Alias.

Dua ucaptama telah disampaikan yang mewakili Negara Thailand dan Malaysia. Ucaptama pertama disampaikan oleh Dr Tobrani (Wisoot Binlateh), wakil Sheikhul Islam untuk Wilayah Selatan dari Pejabat Mufti Thailand. Beliau menyampaikan ucapan mengenai pentadbiran dan pengurusan Wakaf di Thailand. Komuniti Muslim di Thailand secara umumnya sangat mengimarahkan institusi wakaf. Masjid Ban Nua ini sendiri dibangunkan oleh komuniti setempat yang terdiri daripada para petani dan nelayan. Sumbangan wakaf dikumpulkan berdasarkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sama ada melalui perseorangan, yayasan mahupun sektor korporat. Masjid ini juga menempatkan sekolah tadika, sekolah agama dan dewan pelbagaiguna dengan fasiliti ruang solat ditingkat atas, manakala ditingkat bawah disediakan ruangan umum yang boleh menempatkan 150 kerusi, pejabat dan bilik mesyuarat yang berhawa dingin. Aktiviti kesukarelawanan juga acara keagamaan di masjid tersebut.

Ucaptama kedua pula telah disampaikan oleh Dr Mohd Mizan Aslam, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis bertajuk “Kelestarian Pendidikan Tinggi melalui Wakaf : Pengalaman Malaysia”. Dalam ucaputamanya, kolaborasi institusi pendidikan dengan bank-bank Islam di Malaysia mampu menjana sumber dana Wakaf yang lebih lestari. Beliau membawakan contoh kolaborasi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dengan Bank Muamalat dalam mengumpulkan wakaf tunai yang berjaya mengumpulkan sumbangan wakaf daripada masyarakat Malaysia. Sumbangan ini secara berterusan boleh memberikan impak positif dalam menyokong keperluan membangunkan aset wakaf seterusnya menyumbang kepada keperluan pembiayaan pendidikan terutamanya pendidikan tinggi yang memerlukan kos yang besar. Sifat perpetuiti yang ada pada keunikan wakaf ini berupaya menjadikan sumbangan bersifat kekal dan lestari.

Seminar pada hari pertama ini diteruskan dengan dua sesi selari. Sesi pertama diadakan pembentang kertas kerja dengan dua tema utama iaitu Wakaf di Negara-negara Islam, urustadbir, isu-isu, cabaran dan langkah kehadapan. Sesi ini membicarakan pengalaman-pengalaman tadbir urus wakaf di negara Indonesia, Filipina dan Iran. Beberapa isu telah diutarakan antaranya cabaran-cabaran utama dalam memperkasakan institusi wakaf di negara-negara Islam. Antara cabaran yang diutarakan antaranya dari aspek perundangan, amalan tadbir urus terbaik, perekodan dan perakaunan. Sebagai langkah kehadapan perbincangan dan penambahbaikan institusi wakaf memerlukan inovasi dinamik yang menyokong perkembangan institusi wakaf daripada pelbagai pihak secara kolektif dan konsisten diperlukan untuk memastikan kelangsungan dan kelestariannya. Institusi wakaf di Negara minoriti Muslim juga memerlukan sokongan padu dari negara-negara Islam agar dakwah dan kelangsungan Islam lebih baik dan harmoni. Sesi kedua dilanjutkan dengan sesi perbincangan yang membicarakan model instrumen pembiayaan wakaf yang berpotensi membangunkan aset wakaf secara lebih dinamik dan lestari. Penggunaan instrumen kewangan Islam seperti Sukuk Musyrakah, Bay al-Istisna’, Muzara’ah perlu digembleng dengan lebih efisyen membiayai pembiayaan pembangunan aset wakaf (untuk membuahkan hasil wakaf yang lebih efektif). Pengupayaan institusi wakaf melalui institusi kredit mikro  dan cadangan penubuhan Bank Wakaf juga dibincangkan dalam sesi ini.

Manakala sesi kedua pula diadakan kursus Imam-Imam dengan dua sesi utama iaitu a) tahsin bacaan al-quran dalam solat oleh Ustaz Mohd Shamsul Abd Samad, Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah, USIM dan b) Pengurusan kewangan Masjid yang disampaikan oleh Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) USIM. Kursus imam ini dilaksanakan melalui keadah teori dan praktikal dengan penglibatan para imam dari daerah Hatyai dan Chana. Maklumbalas daripada wakil Yayasan Darul Naeem – program ini sangat menarik dan berfaedah. Boleh dirancangkan program susulan khas untuk imam-imam ini di USIM pada masa hadapan.

 

Disediakan oleh:

Dr Fuadah Johari

Penyelaras Pusat Pembiayaan Pembangunan Wakaf

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)    

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)   

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

Additional Info

Read 2021 times

Leave a comment

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my