CEO@FACULTY BINCANG ISU KESELAMATAN DAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH NARKOTIK

NILAI, 7 SEPT 2016 –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Kecemerlangan USIM iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) telah menganjurkan Syarahan Umum sempena CEO Faculty Programme (CFP) yang bertajuk ‘Menerajui Advokasi Ke Arah Keselamatan Negara Yang Lestari Dalam Era Teknologi Dunia Tanpa Sempadan’. Syarahan ini disampaikan oleh YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang telah dilantik sebagai Profesor Adjung Kebangsaan CEO Faculty Programme di USIM berkuatkuasa 7 September 2016 selama setahun.

Sebagaimana yang kita sering dengar di media arus perdana, ancaman utama seperti keganasan dan penyalahgunaan dadah merupakan antara perkara yang sering dibincangkan. Isu-isu keganasan seperti kemunculan kumpulan-kumpulan radikal yang berasaskan agama dan bangsa seperti Islamic State (IS), Jemaah Islamiah (JI) dan Al-Maunah telah memberi kesan yang mendalam kepada keselamatan dalam Negara kita.

Naib Canselor Prof Dato Dr Musa Ahmad berkata universiti merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi yang muda remaja serta mempunyai semangat juang yang tinggi. Namun, golongan mahasiswa perlu berhati-hati kerana mereka mudah terpedaya dengan ajaran dan ideologi yang sesat yang boleh membawa kepada kerosakan diri. Oleh itu, universiti memainkan peranan yang besar dalam membentuk minda, emosi dan tingkahlaku mahasiswa/i supaya tidak terjebak dalam keganasan dan jenayah. Diharapkan melalui jalinan hubungan antara pihak universiti dan PDRM, hal ini dapat menguatkan lagi usaha murni dalam membanteras penularan ancaman-ancaman ini kepada mahasiswa/i di universiti. 

 

“Kerjasama PDRM dan USIM akan menjadi satu mercu tanda dan rujukan universiti yang lain dalam bidang penguatkuasaan undang-undang terutamanya yang berkaitan dengan ancaman keganasan. Sebagai makluman awal, USIM dan UIAM juga akan menjalinkan kerjasama untuk meneraju penyelidikan dalam aspek keselamatan negara khususnya dalam membanteras terrorism (pengganas). Usaha ini bertepatan dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar setiap universiti awam (UA) melaksanakan konsep commonality dan collegiality sesama UA”, jelas Dato Musa.

Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya turut menegaskan kepada para pelajar khususnya untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran tanpa melibatkan diri kepada mana-mana persatuan atau pertubuhan yang meragui seperti IS dan ajaran sesat.

Semoga kerjasama serta usaha murni yang dilaksanakan ini dapat menyemai mesej “benci dadah” di kalangan warga USIM dan seterusnya mampu menangkis asakan pengaruh dadah yang kian membimbangkan. Adalah menjadi harapan agar isu keganasan dan jenayah narkotik ini mampu ditangani dengan adanya hubungan akrab antara semua agensi kerajaan, pihak universiti dan komuniti.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Timbalan-Timbalan Naib Canselor USIM, SAC Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd Setiausaha Polis Negara dan SAC Dato Narenasagaran A/L Thangaveloo Timbalan Ketua Polis Negeri.

 

 

Disediakan oleh: 

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)    

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

Additional Info

Read 923 times

Leave a comment

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my