IECNA 2016 BINCANG MEMPERKASA PENDIDIKAN MELALUI ILMU NAQLI DAN AQLI Featured

NILAI, 23 OGOS 2016 - Seiring dengan moto Universiti Sains Islam Malaysia, iaitu ’Meneraju Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli’, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia mengambil initiatif menganjurkan iECNA2016 buat julung kalinya di peringkat antarabangsa pada 23 dan 24 Ogos 2016 (Selasa dan Rabu) bertempat di kampus USIM.

Bertemakan ”Transformasi Pendidikan Kontemporari melalui Ilmu Naqli dan Aqli”, sebanyak lebih 50 kertas kerja yang dibentangkan oleh para pendidik, pelajar antaranya dari Sarawak, Indonesia dan Oman.

Antara objektif kongress ini adalah untuk memberi pendedahan konsep ilmu Naqli dan Aqli di peringkat global dengan menyediakan ruang untuk perbincangan dan perdebatan di kalangan ahli akademik selain meneroka strategi baru dan menangani cabaran semasa pendidikan, penyelidikan, inovasi dan ciptaan berdasarkan Integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan tamadun manusia.

Ia juga bermatlamat memberikan pemahaman yang lebih baik daripada kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli yang menyediakan platform sebagai pusat rujukan global ilmu Naqli dan Aqli selaras dengan pelan strategik USIM 2016 dan mewujudkan satu model pendidikan yang mengintegrasikan pengetahuan Naqli dan Aqli pada skala global.

Menurut Pengarah program Dr. Yuslina Mohamed, penganjuran iECNA2016 merupakan kesinambungan kepada ECNA2015 yang telah berjaya dianjurkan di peringkat kebangsaan pada tahun lalu. Berdasarkan sambutan yang amat memberangsangkan dengan ini, Fakulti Pengajian Bahasa Utama mengambil inisiatif untuk meluaskannya ke peringkat antarabangsa selari dengan pelan strategik USIM 2016 iaitu memperkasa integrasi ilmu Ilmu Naqli Aqli dalam pendidikan dan penyelidikan.

“Selaras dengan bidang bitara USIM yang meletakkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli sebagai hala tuju universiti, Pusat Pengembangan Integrasi Naqli dan Aqli ditubuhkan bagi memperkasa budaya integrasi Naqli dan Aqli dalam kalangan warga USIM melalui program latihan. Pusat ini juga berperanan menyebar luas falsafah, prinsip dan amalan integrasi Naqli dan Aqli dalam kalangan masyarakat khususnya organisasi awam dan industri melalui seminar dan program libat sama masyarakat (community engagement).  Diharapkan graduan yang lahir daripada USIM mampu menjadi graduan yang seimbang daripada aspek Naqli dan Aqli dan sememangnya ini bertepatan dengan salah satu lonjakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang”, jelas Dr Yuslina.

Kongress ini dibuka kepada para akademik, kakitangan kerajaan serta swasta, mahasiswa mahasiswi universiti awan dan universiti swasta dan terbuka kepada sesiapa yang berminat. Ucaptama disampaikan oleh Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan dan Prof. Dr. Majdi Haji Ibrahim dari Universiti Islam Antarabangsa.

Hadiah kertas kerja terbaik kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Pensyarah USIM iaitu bertajuk “Elemen–elemen Pendidikan Melalui Fatwa”, manakala kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh pensyarah USIM juga iaitu bertajuk “Transforming an English as Second Language (ESL) Classroom through the Integration of Naqli & Aqli Konwledge”. Dan bagi kategori Bahasa Arab dimenangi oleh USIM. Majlis Perasmian dan Penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato Dr. Mustafa Mohd Hanefah. Turut hadir sama Dekan FPBU Prof. Madya Dr. Noor Azizi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.   

 

Disediakan oleh: 

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)    

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

 

 

Additional Info

Read 999 times

Leave a comment

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my