X-DENT BOX : KOTAK PEMERANGKAP HABUK SEMASA PROSES PEMANGKASAN APLIAN PERGIGIAN Featured

NILAI, 18 OGOS 2016 – Bagi melindungi mereka yang menjalankan proses pemangkasan aplian pergigian, pensyarah dan kakitangan dari Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mencipta satu inovasi kotak pemerangkap habuk yang diberi nama X-Dent Box. Kotak ini direka bentuk oleh salah seorang ahli kumpulan, En Muhamad Amin Azahari dan dihasilkan bersama ahli kumpulan lain yang diketuai oleh Dr Nusima Mohamed.

Ahli-ahli lain yang terlibat adalah Dr Tjut Mardiny Boerhan Ali, Norzeimi Amir, Roseda Abd Rahman, Afif Ahmad Pahmin, Muhd Izainezazmi Azis, Siti Jamiyah Mahktar dan Suhan Tamyis.


Menurut Dr. Nusima selaku Ketua Penyelidik, kotak ini dicipta disebabkan masalah kesihatan yang sering dialami oleh juruteknologi pergigian. Hasil dari kajian yang dilakukan dengan mengukurkan tahap pencemaran indeks udara di dalam makmal untuk mengesan punca masalah kesihatan mereka, didapati tahap pencemaran udara adalah tinggi. Kajian juga mendapati indeks yang tinggi ini adalah disebabkan sebaran habuk yang terhasil semasa proses pemangkasan aplian pergigian yang terapung di udara makmal selama berjam-jam. Habuk ini yang menyebakan masalah kesihatan sering berlaku terutama masalah batuk, asma dan iritasi mata. Malah kesan jangka panjang yang boleh diperoleh dari kajian-kajian dari luar Negara menyatakan habuk tersebut yang disedut boleh menyebabkan penyakit kanser terdedah dalam jangka masa 10-15tahun.

“Walaupun kotak seperti X-Dent Box boleh didapati di pasaran luar Negara X-Dent Box mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu ia murah, ringan, mempunyai ruang kerja yang jelas dan sesuai dengan cara kerja juruteknologi pergigian, dan boleh dilipat sekali gus menjimatkan ruang penyimpanan kotak dan mudah dibawa. Berbanding dengan kotak di pasaran yang jauh lebih mahal (RM 2000 ke atas), berat dan tidak boleh dilipat yang memerlukan ruang penyimpanan yang besar. Ciri kelebihan X-Dent Box yang lain adalah mempunyai tempat khas untuk meletakkan bur di dalam box, mudah dibersihkan dan mempunyai lampu yang membantu menjelaskan lagi kawasan kerja pemangkasan aplian pergigian”.

“Hasil kajian telah membuktikan kotak ini berjaya menurunkan 64% pencemaran habuk di dalam makmal dan mengurankan masalah kesihatan di kalangan juruteknologi pergigian. Ia juga memudahkan hasil kerja kerana habuk yang terhasil semasa proses pemangkasan terus disedut oleh vakum yang disambung di bawah kotak ke meja kerja juruteknologi dan ini memudahkan proses pembersihan. Habuk yang terapung di udara juga telah dikurangkan”, jelas Dr. Nusima.

Dr. Nusima menjelaskan X-Dent Box telah didaftarkan untuk harta intelek universiti dengan Malaysia Registered Design dan telah Berjaya mencapai pelbagai kejayaan inovasi iaitu pingat gangsa di i-INOVA 2015, pingat perak di ITEX 2016 dan penarafan emas di pertandingan KIK peringkat IPTA 2016 di bawah kategori teknikal.

X-Dent box bukan sahaja sesuai digunakan oleh juruteknologi dan perlajar pergigian malah kepada tukang emas. Mereka berhasrat untuk memasarkan X-Dent ke kumpulan sasaran di Kementerian Kesihatan Malaysia dan Universiti Awam dan Swasta dan juga kumpulan sasaran persendirian. Diharap X-Dent Box akan berjaya membantu juruteknologi dan pelajar pergigian menagtasi masalah kesan jangka panjang akibat habuk berbahaya dari proses pemangkasan aplian pergigian setelah ia berjaya dipasarkan.

 

Untuk maklumat lanjut:

Dr Nusima Mohamed

Pensyarah Pergigian DUG51,

Fakulti Pergigian,

Universiti Sains Islam Malaysia.

Tel: 03-42891156

 

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)  

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

Additional Info

Read 1155 times

Leave a comment

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my