FAIRUS PEMENANG SULUNG CEMCA BEST FEMALE ACHIEVER AWARD 2016

NILAI, 6 DISEMBER 2016 -  Fairus Abdul Manaf dianugerahkan sebagai penerima sulung Anugerah Pelajar Wanita Terbaik CEMCA bagi tahun 2016. Anugerah ini diberikan kepada pelajar terbaik keseluruhan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang di universiti dan peringkat antarabangsa. Fairus menerima cek bernilai USD 600 sumbangan penaja iaitu Commonwealth Educational Media Centre for Asia (CEMCA) serta trofi. Anugerah ini merupakan hasil memorandum persefahaman antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan CEMCA pada Disember 2015 yang diterajui oleh Pusat Pembelajaran Akses Terbuka Global, Teknologi Imersif dan Jaminan Kualiti (GOAL-ITQAN).

Objektif anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar, khususnya pelajar wanita lain dalam meneruskan kecemerlangan secara holistik, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam aktiviti sampingan yang dianjurkan di USIM, di peringkat serantau atau peringkat antarabangsa. Anugerah yang bertemakan ‘women empowerment’ ini amat bertepatan dengan model GIINA yang ditekankan oleh USIM, dalam menyepadukan elemen akademik, sahsiah, dan berkeusahawanan.

Anugerah khas bagi pelajar wanita ini adalah terbuka kepada calon di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Bagi tahun 2016, anugerah ini dikhaskan buat pelajar USIM sahaja, namun penganjur akan membuka pencalonan kepada pelajar universiti seluruh negara bagi tahun seterusnya.

Kriteria pemilihan merangkumi 4 kluster utama, iaitu kecemerlangan akademik, keterlibatan dalam aktiviti akademik, keterlibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, serta keterlibatan atau idea mengenai women empowerment.

Kecemerlangan akademik diambil berdasarkan kiraan Purata Nilai Gred Kumulatif  / CGPA yang membawa 10% markah maksimum. Markah bagi aktiviti akademik pula diambil dari keterlibatan dalam program persidangan, bengkel akademik, kolokium atau seminar dan membawa 40% markah maksimum. Keterlibatan dalam aktiviti kebudayaan, sukan, kesenian, atau keagamaan pula membawa 30% markah maksimum, manakala inisiatif memperkasa wanita / women empowerment membawa 20% markah maksimum. Pemarkahan bagi setiap kriteria adalah secara berskala bergantung kepada tahap penglibatan calon dalam satu-satu aktiviti.

“Fairus Abdul Manaf merupakan graduan bidang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Bioteknologi Makanan (Fakulti Sains & Teknologi) Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau telah mewakili USIM dan Malaysia ke pelbagai negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina untuk pertandingan inovasi dan festival filem pendek. Beliau adalah wakil tunggal Malaysia ke Forum Belia Asia dan pada tahun 2016 telah memenangi Best Poster Presentation on Asia Pacific Student Forums for Innovation Competition and Short Film Festival di Indonesia. Fairus juga merupakan pengasas bersama syarikat Light Motion Production dan telah memenangi banyak anugerah perfileman di Malaysia dan di luar negara, dengan salah satu filem pendek beliau telah dianugerahkan 2 tahun masa siaran di TV Al-Hijrah Malaysia.” ujar Naib Canselor USIM.

Anugerah ini disampaikan semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USIM dan telah disampaikan oleh Senator Dato' Dr. Ashraf Wajdi Dato' Dusuki; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

Disediakan oleh:

Ahmad Farid Mohd Jamal

 

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)  

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan                 

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

Additional Info

Read 879 times

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my