2,523 GRADUAN TERIMA IJAZAH DI MAJLIS KONVOKESYEN USIM KALI KE-14

NILAI, 21 Nov - Seramai 2,523 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-14 yang berlangsung bermula pada 19 November hingga 21 November 2016 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Pada tahun ini, sebanyak lima (5) sidang berlangsung bermula dengan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-14 pada 19 November (Sidang 1) yang disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM.

Majlis Konvokesyen tahun ini memperkenalkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) yang merangkumi 3 elemen utama iaitu holistik, berkeusahawanan dan keseimbangan. Melalui model ini setiap mahasiswa dipandu supaya terlibat dengan berbagai aktiviti di kampus selain mengaplikasi kemahiran dan bakat diri untuk membentuk jati diri serta membina ciri-ciri graduan berkualiti untuk lebih berdaya saing dan berdaya maju di masa akan datang.

   

Daripada jumlah 2,523 graduan yang menerima ijazah, pecahan penerima adalah 73 orang penerima Doktor Falsafah; 132 orang penerima Sarjana; 23 orang penerima Diploma dan 2,295 orang penerima Ijazah Sarjana Muda.

Sempena Majlis Istiadat Pembukaan, DYMM Tuanku Canselor berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam  kepada YBhg. Dato’ Dr Mohamed Asin bin Dollah, yang merupakan antara barisan Pengurusan Kanan terawal universiti pada awal penubuhan USIM pada tahun 2000. Penerima gelaran Profesor Emerita dianugerahkan kepada Profesor Puan Sri Datuk Dr. Hajah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim yang merupakan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan juga Mantan Pengarah Kolej PERMATA Insan.

Sementera itu, YAM Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM turut berkenan memberi penganugerahan pada sidang 5 kepada seorang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Undang-undang iaitu YBhg. Dato’ Faiza bin Tamby Chik yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Felo Utama di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM (2006-2014).

Para graduan cemerlang turut diberi penghargaan oleh universiti iaitu penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu Hanisah Hassan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Muhammad Syah Fahmi Zainal dari Fakulti Sains dan Teknologi. Penerima Anugerah Canselor adalah Ain Najwa Mohd Latif dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Ahmed R.M.Raddad dari Fakulti Syariah dan Undang-undang bagi (Kategori Siswazah) manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Azka Annisa Yusri Yurnalis dari Fakulti Syariah Undag-undang.

Selain itu, turut diberikan penganugerahan adalah 1 graduan penerima Anugerah Khas Yayasan Tun Azmi, 1 graduan penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Muamalat Dato’ Dr Abdul Halim Ismail,  1 graduan penerima Anugerah Khas Malaysian Press Institute, 1 graduan penerima Anugerah Khas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 1 graduan penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Kaunseling diikuti sebanyak 5 graduan penerima Hadiah Buku Universiti, 9 graduan penerima Hadiah Buku Fakulti dan 9 orang penerima Hadiah Ko-Kurikulum.

Majlis Konvokesyen tahun ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Pesta Konvo di Tapak Pesta Konvokesyen bersebelahan Dewan Besar USIM yang dimulakan dengan Majlis Pelancaran Pesta Konvokesyen pada 18 November dan disempurnakan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM.

 

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

Additional Info

Read 1161 times

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my