USIM JALIN KERJASAMA MOU BERSAMA UNIVERSITI REITAKU JEPUN Featured

NILAI, 7 DIS 2016 - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) dan Universiti Reitaku, Jepun buat julung kalinya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengadakan hubungan antarabangsa jangka panjang di dalam bidang penyelidikan perniagaan dan jaringan akademik. 

MoU di antara kedua-kedua negara telah ditandatangani oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato Musa Ahmad, manakala Universiti Reitaku diwakili oleh Profesor Osamu Nakayama. Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam meningkatkan hubungan dua hala diantara kedua-dua universiti. Antara kerjasama yang bakal di jalankan bersama adalah penganjuran konferen antarabangsa yang akan berfokuskan kepada bidang perniagaan negara-negara Asian terutamanya di antara Malaysia dan Jepun. 

“Di dalam menjadikan USIM dan IFWMI sebagai institut rujukan global di dalam bidang pengurusan harta dan kewangan Islam, IFWMI terbuka dalam menjalankan hubungan kerjasama dengan rakan strategik dari luar negara terutamanya dari kalangan negara serantau.  Kami juga sedang mengadakan kerjasama dengan Universiti Chiang Mai, Thailand dan juga dalam proses mengorak langkah ke Filipina untuk mengembangluaskan bidang kewangan Islam dan pengurusan harta Islam disana,” ujar Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Pengarah IFWMI yang menerajui program kerjasama tersebut.

Profesor Dr. Osamu Nakayama melahirkan rasa gembira kerana dapat menjalinkan hubungan dengan USIM yang merupakan universiti awam ketiga di Malaysia yang menjalinkan kerjasama yang seumpamanya dengan Universiti Reitaku. Beliau juga turut berbangga dengan usaha USIM dalam mengetengahkan ilmu integrasi Aqli dan Naqli yang berasaskan acuan tersendiri yang dilihat begitu mirip dengan misi dan visi Universiti Reitaku yang memfokuskan kepada kajian berkenaan moralogi yang mengintegrasikan pengetahuan dan nilai kemanusiaan. Prof Dr. Nakayama juga mengatakan, ilmu barat yang baik boleh diambil oleh masyarakat timur, tetapi budaya timur perlu diutamakan berbanding budaya barat kerana ianya sesuai dengan masyarakat kita yang ketimuran.

Diharapkan dengan kerjasama yang termeterai dapat meneroka pelbagai peluang kerjasama lain yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

 

Disediakan oleh:

Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 933 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my