PHTP HASRAT LAHIR EKSEKUTIF HALAL BERKEMAHIRAN TINGGI Featured

NILAI, 10 NOV 2016 - Seiring dengan kemajuan industri halal yang semakin berkembang pesat di negara ini, seramai 31 orang peserta terdiri dari pelbagai latar belakang melibatkan pihak pemain industri, graduan universiti, penyelidik dan individu yang berminat bagi  memenuhi keperluan Eksekutif Halal telah menghadiri Program Latihan Profesional Halal (PHTP) yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula pada 6 Ogos hingga 9 Oktober 2016 lalu.

Penganjuran kali ke-3 sejak tahun 2014 diperkenalkan, ini merupakan julung-julung kalinya program ini diadakan pada hujung minggu bagi membolehkan lebih ramai pemain industri mengikuti program ini.

Objektif program ini adalah untuk membentuk modal insan yang komprehensif serta memenuhi keperluan industri Halal, menghasilkan graduan eksekutif halal yang kompeten, dan membantu dalam melahirkan lebih banyak syarikat pengusaha makanan yang patuh Syariah dan standard yang telah ditetapkan.

Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, program ini telah direka dengan modul-modul yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang terdiri daripada empat modul yang dibangunkan oleh USIM iaitu Halal Syariah dan Perundangan, Pengurusan Halal dan Halal Sains dan Teknologi bagi Instrumentasi Analisis Halal, dan Sains Pemakanan dan Perundangan berkaitan. Pihak HDC pula terlibat dalam membangunkan modul Standard dan Pengauditan Halal dan modul Ujian Kemahiran Halal (Halal Competency Testing) pula dibangunkan oleh pihak TPM.

Manakala menurut Datuk Hj. Muhamad Nordin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pengurusan Halal di negara kita berdepan dengan cabaran dalam memastikan keseluruhan rantaian bekalan (supply chain) melaksanakan sistem patuh syariah secara menyeluruh terutama di dalam industri pemakanan bermula dari ladang atau penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada barangan gunaan (from farm to table).

“Disinilah perlunya satu sistem kawal selia dilakukan dan dalam perkara ini standard Malaysia MS1500:2009 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia mensyaratkan syarikat untuk melantik Eksekutif Halal dari kalangan mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang syariah atau bidang yang berkaitan halal. Melihat kepada Program Latihan Profesional Halal yang dianjurkan amatlah bertepatan bagi membantu hasrat agenda Halal untuk melahirkan profesional Halal yang kompeten dan berkemahiran tinggi dalam pengurusan Halal, dan paling utama untuk memelihara integriti industri yang semakin berkembang ini”, jelas beliau yang merasmikan majlis PHTP kali ini.

Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), USIM sebagai penganjur utama bagi program latihan ini berharap program ini berjaya mencapai objektif serta mampu  melahirkan Eksekutif Halal yang kompeten dan menangani isu-isu halal berbangkit yang semakin mendapat perhatian semua pihak yang  melibatkan industri halal di peringkat domestik dan global. Maklumbalas yang diterima di kalangan peserta adalah amat menggalakkan dan diharapkan boleh diteruskan dengan penyertaan pemain industri yang lebih meluas.

 

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1015 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my