SYARAHAN PERDANA: 'MENOPOS SATU REALITI KEHIDUPAN' Featured

NILAI, 19 OKT 2016 – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Persatuan Menopos Malaysia telah menganjurkan Syarahan Perdana yang bertajuk Menopos: Satu Realiti Kehidupan disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Mohd Nasri Nik Ismail yang kini merupakan Pengarah Pembangunan Kompleks Kesihatan USIM.

Berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kepakaran Obsterik & Ginekologi dan aktif dalam pelbagai jawatan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Mohd Nasri sangat terkenal di kalangan doktor pakar O&G kerana beliau telah mempelopori rawatan untuk wanita menopos sejak tahun 1990 dengan menubuhkan Klinik Menopos pertama di Malaysia. Seterusnya menubuhkan Persatuan Menopos Malaysia pada tahun 1997 dan beliau bergiat aktif sehingga hari ini dengan mengendalikan satu-satunya Klinik Menopos yang besar di Malaysia iaitu di Pusat Perubatan UKM.

Di USIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Mohd Nasri dilantik menjadi Dekan Pengasas Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan . Kini, USIM telah menghasilkan enam kumpulan Doktor Perubatan.

Dalam syarahan yang disampaikan oleh beliau, menopos berpunca daripada kegagalan ovari untuk mengeluarkan hormon estrogen yang memberi kesan kepada seluruh sistem tubuh wanita. Purata umur menopos wanita Malaysia ialah 50.7 tahun, dan oleh sebab jangka hayat wanita Malaysia adalah 77.2 tahun, satu pertiga hayat mereka adalah selepas menopos.

“Mengikut Persatuan Menopos Antarabangsa (International Menopaus Society atau IMS), terapi dengan hormon dikira sebagai kaedah yang paling efektif untuk mengatasi gejala seperti rasa panas, berpeluh dan gejala urogenital (pundi kencing dan faraj). Terapi ini lebih bermanfaat jika digunakan sebelum umur 60 tahun atau dalam masa 10 tahun selepas menopos”.

“Terdapat banyak cara rawatan yang boleh diberikan untuk mengatasi gejala menopos. Rawatan boleh diberi untuk jangka masa pendek atau panjang. Rawatan jangka masa pendek dilakukan untuk mengatasi masalah tertentu seperti sakit kepala menggunakan aspirin.  Rawatan jangka panjang pula ditujukan kepada masalah yang berterusan, iaitu ketiadaan atau lebih tepat kekurangan hormon estrogen, dengan menggunakan Terapi Penggantian Hormon (TPH) atau lebih dikenali dengan HRT. Rawatan ini yang sudah dipelopori sejak lebih 60 tahun yang lalu telah membantu jutaan wanita menopos untuk masuk ke era baharu dalam kehidupan mereka dengan lebih bermakna”, jelas Dato’ Nik.

   
   

Manakala dalam ucapan Naib Canselor Prof Dato Dr Musa Ahmad, beliau mengkagumi peranan yang dimainkan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Mohd Nasri, bukan sahaja kepada perkembangan FPSK, malah lebih penting kepada perkembangan profesion dalam bidang O&G di Malaysia.

Akhirnya, dengan berpandukan kepada banyak hasil kajian dahulu dan terkini tentang penggunaan rawatan hormon, pengamal perubatan dan wanita menopos boleh membuat pertimbangan dan pilihan bijak di antara kebaikan dan risiko rawatan supaya rawatan yang selamat untuk jangka masa yang panjang dapat dinikmati.

Turut hadir sama pada majlis ini, Ir. Dr. Muhammad Fuad Abdullah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dr.Ho Choon Moy Presiden Persatuan Menopos Malaysia dan Dekan FPSK Prof Madya Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

 

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 779 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my