USIM DAN JKSM JALIN KERJASAMA DALAM BIDANG PERUNDANGAN SYARIAH

PUTRAJAYA, 9 SEPT 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)  yang disaksikan oleh YB Senator Dato Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki yang berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya.

USIM diwakili oleh Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), manakala JKSM diwakili oleh YAA Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut, Ktua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM.

Menurut Prof Dr. Zulkiple, perjanjian persefahaman ini merupakan program kerjasama antara JKSM dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM yang melibatkan skop latihan, kajian dan penyelidikan dalam bidang perundangan serta kerjasama melibatkan kemudahan bagi menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran bagi kakitangan JKSM, JKSN, dan Mahkamah Syariah Negeri.

“Dalam merealisasikan agenda kerjasama antara kedua belah pihak, sejumlah aktiviti telah pun dirancang oleh pihak USIM. Ini termasuklah aktiviti seminar, bengkel-bengkel pakar, projek penyelidikan, kelas tafaqquh, penerbitan, program latihan dan lain-lain yang difikirkan sesuai pada masa akan datang. Antara agenda yang akan dilaksanakan bersama pada masa terdekat ini adalah Seminar Kebangsaan Transformasi Harta Pusaka di Malaysia (SKTPM) yang akan di adakan pada 22 September 2016 di USIM. Seminar ini adalah sangat penting dan sangat relevan kepada para akademik, pengamal undang-undang Syariah, dan masyarakat umum memandangkan kepada kekangan-kekangan yang dihadapi oleh Negara pada masa kini di dalam mengurus dan mentadbir harta-harta yang tersebut”,tambah Prof. Zulkiple.

Manakala YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dalam ucapannya berkata, selaras dengan saranan kerajaan agar perkhidmatan awam menerapkan Strategi Lautan Biru atau Blue Ocean Strategy, kerjasama strategik antara JKSM dan USIM ini adalah satu contoh terbaik dan merupakan titik tolak penambahbaikan ke arah pembangunan diri dan kerjaya kakitangan yang melibatkan perundangan syariah seluruh Malaysia.

Adalah diharapkan dengan termeterai perjanjian persefahaman ini, dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara pihak USIM dan JKSM pada masa-masa akan datang.

Turut hadir sama Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM  Prof. Madya Dr. Zulkifli Bin Hasan.

 

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus 

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)    

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

71800 Nilai, Negeri Sembilan               

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1931 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my