KARYAWAN SENI TANAHAIR BANTU PROMOSI PRODUK SENI USIM Featured

NILAI, 30 MAC 2016 – Menjadikan bakat seni yang dimiliki sebagai salah-satu punca pendapatan dan kerjaya utama bukanlah sesuatu yang asing. Melihat ia sebagai cabang keusahawanan berpotensi, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif proaktif memperkasakan bidang keusahawanan dikalangan mahasiswa melalui produk seni yang dihasilkan mereka.

Majlis Pelancaran Produk Seni USIM telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bertempat di Dewan Tuanku Canselor dengan empat produk seni iaitu Produk Persembahan Seni, Produk Sewaan dan Teknikal, Produk Penerbitan Seni serta Produk Pengajaran dan Pembelajaran Seni. Produk-produk ini dijangka dapat memberi impak dan memenuhi keperluan pasaran dengan sokongan pihak industri.

Bagi merealisasikan dan melonjak usaha mempromosikan produk-produk ini, Pusat Kebudayaan turut bekerjasama dengan beberapa karyawan seni tanah air dengan melantik mereka sebagai karyawan seni USIM. Penglibatan ini juga sebagai satu bentuk pengiktirafan universiti terhadap sumbangan mereka dalam bidang seni yang diceburi.

Penggiat seni tanahair yang dilantik ini ialah Syed Indera Syed Omar (Siso) sebagai karyawan Penulisan Kreatif; penyanyi Nash (Karyawan Persembahan Seni); komposer Fauzi Marzuki (Karyawan Penciptaan Kreatif); penyanyi nasyid ketuhanan, Hafiz Hamidun (Karyawan Inovasi Produk) dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya (Karyawan Pengacaraan dan Penyiaran).

Turut menerima lantikan ialah Johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2013, Ustaz Anuar Hasin dilantik sebagai Karyawan Seni Taranum dan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia USIM, Dr. Irwan Mohd Subri (USIM) yang diberi kepercayaan sebagai  Penasihat Produk Seni. Selain itu, seramai 14 Ikon Seni Pelajar yang kini merupakan alumni USIM yang pada masa sama turut menyumbang kepada industri dan masyarakat melalui seni turut dihargai.

"Penasihat Produk, Karyawan Seni dan Ikon Seni Pelajar akan memfokuskan kepada penyampaian, perkongsian, pengajaran dan pembelajaran keilmuan. Perwujudan dan pelantikan ini diharapkan dapat mengimarahkan seni berbudaya atau good cultural art”.

“Bermula tahun 2015, satu model Seni Berbudaya yang merangkumi tiga teras penting iaitu; seni yang menghubungkan dengan Pencipta, seni yang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi serta seni yang memberi manfaat kepada khalayak telah diperkenalkan. Menerusinya, universiti berharap pelajar yang terlibat dapat memainkan peranan sebagai key player untuk meneraju Seni Berbudaya pada masa hadapan,” ujar Naib Canselor.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan sebuah buku puisi Islam pertama terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Penerbit USIM berjudul Garizahku Buat Maharani. Buku karya Adiwangsa Sukma ini menghimpunkan 50 buah puisi yang membawa falsafah “karya yang mendekatkan pembaca dengan Pencipta”. Hasil tulisan Adiwangsa Sukma ini meletakkan rujuk rasa daripada al-Quran dan hadis-hadis sahih diinterpretasikan dengan puisi kontemporari Islamik.

Disediakan oleh:      

Mohd Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)  

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  

71800 Nilai, Negeri Sembilan                 

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

Maklumat Tambahan

Baca 1581 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my