INOVASI SEJADAH TAMPIL NILAI KOMERSIAL

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Hasil kreativiti dan inovasi yang diberikan oleh sekumpulan pelajar dengan menghasilkan sejadah yang dinamakan ‘Sejadah Black is Bright (BB)’ ternyata memberi tuah kepada mereka dalam Pertandingan Usahawan Inovasi Piala Menteri Pendidikan.

Pertandingan yang disertai oleh IPT seperti Kolej Komuniti, Polekteknik dan Universiti adalah antara program utama sempena Karnival Keusahawan dan Kerjaya (K3G) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung dari 14 hingga 16 Jun 2012 lalu.

Sejadah BB ini yang dihasilkan oleh Noorelkamal Elias ,Munamajidah Zameran, Nor Aziha Jusoh dan Nasrul Hanif Ahmad Nasri , pelajar Tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya muncul sebagai Naib Johan setelah berjaya menempatkan diri antara 10 produk terbaik ke peringkat akhir. Hadiah yang dimenangi berupa wang tunai RM 3000.00, Piala Iringan dan Sijil Penghargaan disampaikan oleh YB. Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II.

Menurut Saudara Noorelkamal Elias selaku ketua kumpulan, tujuan mereka mencipta sejadah ini adalah untuk berkongsi manfaatnya dengan masyarakat dan hasilnya mereka telah memenangi pelbagai pingat dan anugerah dalam pertandingan berkonsepkan inovasi seperti Ekspo Inovasi Islam (I-INOVA) dan Student Innovation Competition (SIC) sebelum ini.

“Alhamdulillah, kali pertama membawa produk ini ke pertandingan bercorak keusahawanan, ia telah menambat hati para juri, dan ini menunjukkan Sejadah BB mempunyai nilai komersial yang tinggi. Ciri-ciri unik padanya dan praktikal, memberi kelebihan untuk bersaing apabila dipasarkan kelak” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai langkah awal untuk memasarkan produk ini secara serius, mereka telah menyediakan pelan perniagaan, kajian pasaran dan mengenalpasti kilang berpotensi di Malaysia, China dan Indonesia. Sebagai permulaan, pengeluaran sejadah ini akan dibuat dengan kerjasama Persatuan Ibu Tunggal di N.Sembilan dan Selangor.

Bagi Puan Sry Yasarani Mohd Nasir dari Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) USIM, beliau amat memuji komitmen tinggi yang diberikan para pelajar walaupun terbatas dengan persiapan peperiksaan akhir semester.

“Sebagai tanda sokongan daripada Universiti, produk mereka ini telah dijadikan cenderamata eksklusif USIM oleh Pengurusan Universiti ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kuwait, Oman dan Qatar baru-baru ini dan selepas ini akan di bawa ke Gaza, Palestin pula”

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)





Maklumat Tambahan

Baca 2687 kali

Tinggalkan Komen

Berita Penyelidikan

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my