KONTINGEN SUKSIS USIM CEMERLANG DALAM EDISI SUKAT 2016

NILAI, 4 DIS 2016 – Kontingen Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama Suksis USIM apabila menguasai empat (4) acara sukan dalam Karnival Sukan Suksis Universiti Awam Zon Tengah (SUKAT) 2016 yang berlangsung baru-baru ini.

Memikul dua tanggungjawab besar iaitu sebagai atlet yang membawa nama Universiti dan pada masa yang sama menjadi tuan rumah kepada penganjuran SUKAT kali ini, ternyata ia menjadi pembakar semangat kepada 122 atlet Kor Suksis USIM untuk memberi saingan hebat.

   

Suksis USIM menunjukkan penguasaan cemerlang dengan merangkul pingat emas dalam acara ping-pong, tarik tali, futsal (perempuan) dan merentas desa (perempuan). Selain itu, peningkatan membanggakan turut diperlihatkan kontingen Suksis USIM dalam beberapa acara lain apabila menuai pingat perak melalui acara bola tampar (lelaki), takraw (lelaki), futsal (lelaki) dan bola sepak.

Pingat gangsa pula diraih melalui bola baling (perempuan), bola tampar (perempuan), bola jaring dan merentas desa (lelaki).

Berlangsung selama dua hari (3 dan 4 Disember 2016), sebanyak 12 acara sukan dipertandingkan secara keseluruhannya pada SUKAT kali ini dengan ke semuanya berlangsung dengan menggunakan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Ia menghimpunkan hampir 700 atlet dan pegawai dari empat buah Universiti Awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan USIM.

“SUKAT merupakan platform untuk kami selaku pelatih Kor Suksis USIM bertemu untuk membina jalinan dan hubungan erat dengan rakan-rakan pelatih dari universiti lain dan sebaliknya. Sukan ini berjaya membina daya saing dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi yang menyertainya disamping memupuk budaya hidup sihat melalui bersukan”.

“Kor Suksis USIM berjaya menggalas cabaran membawa nama USIM sebagai penganjur dan peserta dengan amat berjaya sekali dalam edisi SUKAT 2016. Diakui melalui aktiviti sukan ini, ia merupakan saluran terbaik bagi mencungkil bakat-bakat sukan di kalangan pelajar Universiti Awam untuk di bawa ke peringkat lebih tinggi” ujar Muhammad Zuhairi Mat Zain, Pengarah SUKAT 2016.

Pada hari terakhir SUKAT telah diadakan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh YDH SUPT/KS Tuan Hisham Sabri, Timbalan Komandan Kor Suksis USIM. Turut hadir ialah Dr. Abdul Manan Ismail, Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM; serta para Pegawai Penyelaras dan Pegawai Kehormat Suksis bagi setiap universiti yang menyertai.

Juara keseluruhan menjadi milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan 47 mata dengan diekori rapat oleh tuan rumah USIM sebagai naib johan melalui 45 mata. Kontingen Suksis UITM pula berada di tempat ketiga dengan kutipan 31 mata.

 

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)  

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan                 

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 769 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my