SISWA USIM SELAMI KEHIDUPAN WARGA EMAS DI RED SPOT HOME CARE

SEREMBAN, 28 November – Atas keinginan ingin mendekati dan menyelami kisah warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan orang tua, seramai 25 orang siswa-siswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil kesempatan mengunjungi Rumah Orang Tua Red Spot Home Care Centre pada hujung minggu lalu.

Terdiri daripada para pelajar yang mengambil kursus Debat Bahasa Melayu di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM, mereka mengunjungi pusat jagaan ini yang terletak di Bukit Rasah, Seremban. Pada masa kini, terdapat kira-kira 13 orang warga emas pelbagai latar belakang yang ditempatkan di sana secara sepenuh dan separuh masa di sana.

Menurut pengarah program kunjungan ni, Asyraaf Abu Bakar Hamzah, 19, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, mereka memilih untuk mengunjungi rumah orang tua kerana ingin menunjukkan bahawa mahasiswa universiti juga prihatin dengan warga emas dan sentiasa ingin bersama mereka.

“Kami para peserta ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Red Spot Home Centre kerana memberi peluang untuk saya dan rakan-rakan mempelajari sesuatu yang baharu pada hari ini. Walaupun ini kali pertama kami bersua dan meramahi warga emas di sini, tetapi rasa kemesraan dan perasaan kasih-sayang itu begitu cepat dirasai”

“Sepanjang program ini, kami mengambil pengalaman membantu kakitangan pusat jagaan menjalankan aktiviti rutin untuk para penghuni seperti senaman ringan, kebersihan dan perapian diri, membantu mereka untuk makan dan berbual-bual bersama warga emas ini”.

“Satu slot yang kami namakan ‘Sesi Tautan Kasih’ amat memberi kesan kepada saya dan rakan-rakan lain kerana kita berpeluang mendengar sendiri kisah para penghuni dan ini memberi banyak pengajaran kepada kami sebagai mahasiswa dan seorang anak khususnya untuk mengasihi dan menghargai ibu dan ayah” ujar Asyraaf.

Selain membantu dalam menjalankan aktiviti rutin bersama warga emas ini, para pelajar turut ringan tulang dengan membuat aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan pusat jagaan ini untuk memastikan suasananya kekal ceria dan menarik untuk keselesaan para penghuni.

Bagi tenaga pengajar Debat Bahasa Melayu, Mohd Zaini Othman menyifatkan program yang dilaksanakan ini berjaya mencapai objektifnya. Para pelajar diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menguruskan sendiri bentuk program, pemilihan lokasi, pengisian dan persiapan untuk menjayakan program ini. Sebelum program berlangsung, mereka telah mendapat ilmu mengenai pengurusan program university dan apabila di sana, mereka belajar untuk menjadi siswa yang peduli dan salami isu semasa masyarakat kita.

Rumah Orang Tua Red Spot Home Care yang mula ditubuhkan pada 2015 menyediakan perkhidmatan menjaga warga tua seperti aspek pengurusan diri, kebersihan dan kesihatan, pemakanan sihat, perhubungan sosial dan rekreasi. 

 

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

Maklumat Tambahan

Baca 893 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my