ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA SEMPENA KONVOKESYEN KE 14 USIM MILIK HANISAH DAN SYAH FAHMI

NILAI, 19 NOV 2016 - Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Hanisah Binti Hassan  dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Muhammad Syah Fahmi Bin Zainal dari Fakulti Sains dan Teknologi. Penganugerahan disampaikan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM.

Hanisah anak kepada pasangan Hassan Bin Basri dan Mutmainnah Binti Ahmad Mardzuki merupakan anak ketiga dari enam adik beradik. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Islam ABIM Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Kemudian beliau menyambung persekolahan di peringkat Menengah Rendah di Sekolah Menengah Islam ABIM Sungai Ramal Dalam dan berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan PMR 2006 , Kajang, seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga Bandar Baru Bangi pada tahun 2007-2008 dengan dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2008 dengan keputusan 12A1, dan Anugerah Tunas Pemimpin di SMK Jalan Tiga Bandar Baru Bangi.

Perjalanan kecemerlangannya tidak terhenti disitu, pada tahun 2009, Hanisah melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di peringkat Tamhidi Perubatan seterusnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) di Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan (FPSK), USIM. Sepanjang tempoh pengajian di USIM, Hanisah telah terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik mahupun kokurikulum dan berpersatuan, bukan sahaja di peringkat fakulti dan universiti, bahkan kebangsaan serta antarabangsa.

Beliau amat yakin kepada Allah Ta’ala dalam menetapkan yang terbaik buat hamba-hambaNya. Atas keyakinan tersebut, beliau telah mencabar diri sendiri untuk menerokai bidang perubatan dengan sebaiknya. Justeru, nama beliau tersenarai dalam Anugerah Dekan Semasa semester pertama peringkat Tamhidi dan Tahun 3 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). Di samping itu, FPSK juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan Profesional Akhir dan dalam Jabatan Perubatan Dalaman (Internal Medicine).

Kecemerlangan dalam akademik bukan menjadi batasan untuk beliau tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan kepimpinan di Universiti. Bakat kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden II Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM 2012/2013. Beliau juga giat dalam Medical Student Club USIM, merangkap sebagai Ketua Biro Perhubungan Luar Dan Informasi pada sesi 2011/2012 dan Setiausaha II pada sesi 2013/2014. Beliau telah menjadi Pengarah USIM 7th Interfaculty Scrabble Competition 2011, Pengarah Program MPP Meet and Greet di Pandan Indah, Setiausaha II Majlis Makan Malam Sempena Ulangtahun FPSK yang ke-10, ahli jawatankuasa

USIM 6th Interfaculty Scrabble Competition 2010, ahli jawatankuasa Biro Perhubungan Luar Dan Informasi pada sesi 2010/2011.

Hanisah  telah mewakili USIM  ke beberapa pertandingan dalam aktiviti debat bahasa Inggeris seperti mewakili USIM serta memenangi antara Top 10 Speakers dalam UKM Intervarsity Medical Debate di UKM, kumpulannya mendapat tempat kelima dalam Pertandingan Debat Intervarsity Medikal di UM, dan menjadi team debat pemenang dalam 2nd National Medical Conference di AIMST. Beliau juga menyertai Pertandingan Debat Piala Diraja 2010 dan 2012, Serdang Open Debate di UPM, Gender Debate di UMT, UMT Open Debate, Biotechnology Debate di AIMST. Kecemerlangan beliau dalam sukan memanah membolehkan beliau mewakili fakulti dalam Sukan Antara Fakulti (SUFA) 4 kali dan sukan antara kolej kediaman (SUKOL), merangkul pingat gangsa dalam SUFA pada tahun 2012 dan 2013, seterusnya meningkat ke pingat emas pada tahun 2014 dan 2015. Tambahan itu pula, berbekalkan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, beliau telah mengikuti Posting Elektif di Box Hill Hospital, Melbourne, Australia. Beliau juga menyertai MPP Global Islamic Student Outreach (GISO) di Thailand dan 3rd Year Medical Students International Visit to Guangzhou, China.

Selain itu, beliau juga turut mengharumkan nama USIM di peringkat nasional dan antarabangsa dalam aspek inovasi bersama ahli-ahli kumpulan beliau yang berusaha menjayakan rekacipta pakaian baju pesakit HURMA, mendapat pingat emas dalam  The Exposition on Islamic Innovation (i-Inova) 2014, pingat emas dalam Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi UniSZA 2015, Top 10 innovations dalam Anugerah Inovasi Negara 2015: Kategori Akar Umbi,  mendapat Pingat Emas, Best Presenter Award dan Best NRIC Award dalam Novel Research and Innovation Competition 2015 (NRIC 2015), dan mendapat Gold medal dan Special Award Double Gold di British Invention Show 2015. Atas kecemerlangan tersebut USIM menganugerahkan kepada kumpulan ini Anugerah Inovasi Cemerlang (Berkumpulan) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2015 (AKSIS 2015) USIM dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi USIM 2015. Sesungguhnya, USIM merasa amat bangga dan bersyukur dengan pencapaian beliau sehingga ke hari ini. Beliau kini sedang bersedia untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang doktor dengan memulakan sesi housemanship tidak lama lagi.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Manakala penerima kedua Anugerah Pelajaran DiRaja adalah Muhammad Syah Fahmi bin Zainal merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Zainal bin Abu Bakar dan Massiriah binti Sujak. Anak sulung dari dua adik beradik ini dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor pada tanggal 14 Ogos 1993. Sejak kecil hingga dewasa, Syah Fahmi telah menetap bersama keluarganya di Johor Bahru, Johor.

Syah Fahmimendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Bandar UDA 2, Johor Bahru. Kemudian pada tahun 2006-2008, beliau menyambung persekolahan di peringkat Menengah Rendah di SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang pada tahun 2009-2010.

Ketika di zaman persekolahan, beliau telah dilantik sebagai Pengawas Sekolah, Ahli Jawatankuasa Unit Berunifom Pengakap dan Setiausaha Kelab Tenis. Selain itu, beliau juga telah mewakili sekolah dan daerah Johor Bahru dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Arab dalam Majlis Tilawah Alquran peringkat negeri dan sukan tenis. Sungguhpun dalam kesibukan melaksanakan tugas dan aktif dalam Ko-Kurikulum, beliau tidak mengabaikan akademik sehingga beliau berjaya memperoleh Anugerah Pelajar Terbaik PMR 2008 daerah Johor Bahru, Anugerah Tokoh Pelajar peringkat SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru, dan Anugerah Cemerlang 11A SPM 2010 peringkat Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

Perjalanan kecemerlangannya tidak terhenti disitu, pada tahun 2011, Syah Fahmimelanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di peringkat Tamhidi Sains dan Teknologi seterusnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risikodi Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM. Sepanjang tempoh pengajian di USIM, Syah Fahmi telah terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik mahupun kokurikulum dan berpersatuan, bukan sahaja di peringkat fakulti dan universiti, bahkan kebangsaan serta antarabangsa.

Beliau amat yakin kepada Allah Ta’ala dalam menetapkan yang terbaik buat hamba-hambaNya. Atas keyakinan tersebut, beliau telah mencabar diri sendiri untuk menerokai bidang Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dengan sebaiknya. Justeru, bermula Semester Pertama peringkat Tamhidi sehingga Semester Akhir Pengajian peringkat ijazah, nama beliau sentiasa tersenarai sebagai salah seorang penerima Anugerah Pengarah Tamhidi dan Anugerah Dekan di Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Di samping itu, FST juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa dan USIM menganugerahkan beliau Anugerah Pemimpin Terbaik Kategori Terbuka dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) peringkat USIM pada tahun 2015.

Kecemerlangan dalam akademik bukan menjadi batasan untuk beliau tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan kepimpinan di Universiti. Bakat kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila diberi kepercayaan sebagai AJK Akademik Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (Sekrefast) dan Naib Pengerusi Badan Pelajar Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko pada sesi akademik 2013/2014.

Beliau telah menjadi Pengarah dalam pelbagai program akademik seperti Pengarah Karnival Sains Teknologi Islam pada tahun 2014, Pengarah Simposium Aktuari dan Pelancaran Buku: Dari Aktuarius ke Aktuari pada tahun 2015, dan Timbalan Pengarah WIN 1: Matawang Susut, Salah Siapa? serta menjadi Naib Setiausaha untuk delegasi Global Islamic Student Outreach (GISO) ke Seoul, Korea pada tahun 2015.

Syah Fahmi telah mewakili USIM dan Malaysia ke beberapa program kepimpinan dan pertandingan peringkat antarabangsa seperti mewakili USIM serta memenangi tempat ketiga dalam pertandingan olimpiad matematik untuk International Mathemics Convention bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menyertai Actuarial Challenge Competition di UTAR, dan menjadi pembentang untuk 2nd International Convention on Islam, Science and Education di USIM.

Kecemerlangan beliau dalam sukan tenis membolehkan beliau mewakili fakulti, USIM dan negeri Johor dalam Sukan Antara Fakulti (SUFA), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), BMW National League Circuit, dan kejohanan-kejohanan lain. Pencapaian beliau terserlah dalam sukan tenis apabila mengekalkan pingat emas tiga tahun berturut-turut untuk SUFA, dinobatkan pilihan kelima MASUM pada tahun 2015, tempat kedua UiTM Johor Invitation Inter Team pada tahun 2014 dan 2015 serta menduduki tempat ke-63 dalam senarai pemain-pemain tenis seluruh Malaysia pada tahun 2015. Tambahan itu pula, berbekalkan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, beliau telah mengikuti Latihan Industri di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat konsultansi peringkat antarabangsa yang menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko.

Selain itu, beliau juga turut mengharumkan nama USIM di peringkat antarabangsa kerana lulus dua sijil profesional dari badan profesional Society of Actuaries (SOA), iaitu Probability (P) dan Financial Mathematics (FM) serta layak dianugerahkan pengecualian dua peperiksaan iaitu Economics dan Financial Management. Disamping itu, karya penyelidikan beliau bertajuk The Application of Generalized Linear Model for Motor Takaful in Malaysia diiktiraf antara yang terbaik apabila dinobatkan Poster Tesis Terbaik Peringkat Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko serta dibentangkan dalam 2nd International Convention on Islam, Science and Education di USIM.

Sesungguhnya, USIM merasa amat bangga dan bersyukur dengan pencapaian beliau sehingga ke hari ini. Beliau kini berkhidmat di Malaysia Airlines Berhad (MAB) dalam bahagian kajian dan analisis operasi dan sedang bersedia untuk menyambung sijil profesional sehingga dinobatkan Fellow of Society of Actuaries (FSA).


  

Disediakan oleh:  

Noorumaina Mohamed Yunus  

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)       

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)     

71800 Nilai, Negeri Sembilan                  

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 956 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my