TIGA KUMPULAN NASYID USIM BERSAING DALAM FESTIVAL NASYID PERINGKAT KEBANGSAAN 2016

Nilai, 18 OKT 2016 – Majlis pratonton dan pelepasan Kumpulan Nasyid USIM ke Festival Nasyid Kebangsaan telah diadakan di Studio Latihan, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam. Majlis tersebut  dihadiri Pengarah Pusat Kebudayaan USIM,  Ismail Ahmed dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tengku Nur Iftah Tengku Jamil.

Tiga kumpulan yang akan bertanding ke Festival Nasyid Kebangsaan pada 20 hingga 23 Oktober 2016 yang dianggotai pelajar dan alumni USIM yang mengelarkan mereka sebagai kumpulan Bachelor mewakili Negeri (Perak), Inspirasi (Selangor) dan Q-Vou (Negeri Sembilan).


Pengarah Pusat Kebudayaan,  Ismail Ahmed dalam ucapannya memberi komentar bahawa keseluruhan persembahan terdapat beberapa aspek yang perlu dimantapkan lagi dalam persembahan setiap kumpulan. Secara keseluruhannya, beliau  berpuas hati rekaan kostum yang dipakai oleh peserta yang disifatkannya sebagai menawan dan sesuai ke pertandingan tersebut.

Dalam pada itu juga Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tengku Nur Iftah Tengku Jamil dalam ucapan aluannya berkata, beliau mengharapkan yang terbaik daripada semua kumpulan, lebih-lebih lagi Kumpulan Q-Vou yang mewakili Negeri Sembilan. Beliau turut menekankan tiga konsep utama yang patut dipegang oleh setiap kumpulan, iaitu fokus, berani  dan pimpin diri dalam mencipta kejayaan.

“Saya berharap agar semua peserta supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam membuat persembahan dan  kalah atau menang merupakan adat pertandingan dan kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan,” katanya.

 Kumpulan Bachelor bertanding dalam kategori nasyid moden membawakan lagu bertajuk Naskhah Cinta  yang mebawa tema kekeluargaan. Ahlinya, Muhammad Hisham Haris berkata, kumpulannya menekankan tema kekeluargaan kerana keluarga merupakan institusi penting untuk kehidupan setiap insan.

“Kami cuba mengajak penonton bermain dengan perasaan dan emosi, sekali gus menarik perhatian penonton menerusi  kekuatan vokal kami”, katanya.

Muhammad Shairazi  Shaharudin berkata kumpulan Inspirasi pula bakal bertanding dalam kategori Tradisi menerusi lagunya Tunjang Perpaduan karya saudara Mohd Syukri Sahari yang mengangkat tema perpaduan.

“ Kita cuba membawa kelainan dengan menggabungkan irama padang pasir dan irama Melayu Asli dalam persembahan nanti,” katanya.

Manakala, kumpulan Q-Vou pula menampilkan tema peperangan yang menjiwai penderitaan anak-anak di Gaza, Palestin dan Syria. Lagu Seperti Inikah Dunia yang merupakan karya Ismail Ahmed dan liriknya oleh Faiz Aziz menjadi taruhan mereka pada malam itu nanti.

“Pemilihan kostum putih yang merupakan lambang keamanan dunia dan penyanyi solo memakai baju hitam sebagai tanda kesedihan, kata ahli kumpulan Q-Vou, Ahmad Saiful Anwar.

Ketiga-tiga kumpulan ternyata mengharapkan untuk mengadakan persembahan sebaik mungkin dan berusaha untuk mara ke peringkat akhir, sekali gus  meraih kemenangan yang diimpikan selama ini.

Majlis diakhiri dengan penyerahan bendera USIM oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM kepada setiap kumpulan sebagai simbolik pelepasan ketiga-tiga kumpulan nasyid USIM ini. ke Festival Nasyid Kebangsaan yang akan berlangsung pada 20 – 23 Oktober ini di Bayou Lagoon Resort, Melaka. 

 

Disediakan oleh:

Rozihani Mohamad

Pegawai Kebudayaan

 

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

   

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1069 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my