KLINIK PAKAR KESIHATAN USIM TAWAR PELBAGAI RAWATAN PAKAR

NILAI, 21 OKT 2016 – Majlis Perasmian Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan meriah dalam satu majlis ringkas yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato Seri Utama Hj Mohamad bin Haji Hasan. Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan YB Dato Haji Mat Ali Hassan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr. Abdul Rahim Abdullah.

Melalui perkhidmatan yang ditawarkan, Klinik Pakar Kesihatan USIM turut melibatkan doktor-doktor pakar dari Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM. Disamping dilengkapi dengan peralatan yang berasaskan teknologi terkini, USIM turut mengetengahkan seramai lebih 40 orang tenaga pakar dari pelbagai bidang serta perkhidmatan yang ditawarkan seperti Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Pakar Perubatan Dalaman, Pakar Mata (Oftamologi), Pakar Telinga, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pakar Ortopedik, Pakar Psikiatri, Pakar Pembedahan Am serta Pakar Pergigian.

Selain memberi manfaat kepada penduduk di Nilai, ia merupakan satu khidmat sosial USIM kepada komuniti dan masyarakat taraf hidup rendah seperti golongan asnaf bagi meringankan beban mereka pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti.

Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, pelaksanaan klinik pakar ini merupakan ‘showcase’ projek wakaf yang telah dilaksanakan hasil perkongsian pintar USIM dan Kerajaan Negeri Sembilan melalui MAINS, dan kini ia dikendalikan oleh anak syarikat USIM iaitu USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd.

“Mengimbau kembali tanggal Julai 2013 menyaksikan pelantikan USIM sebagai satu-satunya universiti awam yang menjadi mutawalli bagi menguruskan dan membangunkan dana wakaf dan mengagihkan manfaat wakaf kepada golongan penerima manfaat wakaf dengan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM dan MAINS pada tanggal 21 Januari 2014 yang mana MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Mantan Naib Canselor USIM ke-3. Majlis itu juga menyaksikan penyerahan cek berjumlah RM3.5 juta daripada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan kepada USIM”.

“USIM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan juga telah melancarkan Klinik Pakar Mata Bergerak (Klip Mobile)  pada 18 November 2015 di mana klinik mata berkonsepkan van bergerak ini telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan berjumlah RM650,000.00. Di bawah Strategi Lautan Biru Negeri, kesihatan telah dipilih sebagai tumpuan. Di bawah projek ini, pakar mata dari USIM akan membuat lawatan keluar bandar menggunakan Klinik Pakar Mata Bergerak yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sembilan untuk membuat saringan masalah penglihatan terutamanya di kalangan warga emas. Khidmat pakar yang dibawa keluar bandar, memberi akses dan manfaat kepada pesakit yang tidak mampu.  Sehingga kini, seramai 770 orang pesakit telah mendapat manfaat klinik bergerak ini di sepanjang 13 siri jelajah Klinik Pakar Mata Bergerak yang telah diadakan di semua daerah di Negeri Sembilan meliputi Rembau, Seremban, Jelebu, Port Dickson, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol. Sebagai maklumat tambahan, Klip Mobile ini akan menyediakan perkhidmatan cataract surgery bagi membantu doktor pakar mata di Hospital Tampin bermula Disember akan datang”, tambah Dato Musa.

 

"Jumlah wakaf tunai terkumpul sehingga kini adalah RM401,962.73. Jumlah ini sebenarnya hasil inisiatif awal oleh Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf, USIM untuk melakukan potongan gaji.  Wakaf tunai ini akan dimanfaatkan contohnya seperti membantu pelajar-pelajar miskin dan sebagainya. Saya mengharapkan agar lebih ramai lagi warga USIM yang tampil untuk membuat sumbangan secara potongan gaji di dalam tabung wakaf tunai. Selain daripada itu, beberapa inisiatif wakaf telah digerakkan antaranya melibatkan cadangan pembinaan Kolej Kediaman, dan tawaran-tawaran usahasama secara wakaf yang masih giat diusahakan dan dalam peringkat perbincangan", jelas Dato Musa.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Tabung Tabarru’ USIM serta penyampaian kelulusan zoning Pusat Hemodialisis USIM-MAINS oleh Pengarah Urusan Kumpulan Nilai Resources Group Sdn Bhd Datuk Gan Eng Hong.

 

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)     

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)    

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1858 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my