USIM JALIN HUBUNGAN ERAT DENGAN KEDUTAAN ASING

NILAI, 5 OKT 2016 - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasakan jalinan strategik dan hubungan baik dengan Pejabat Kedutaan Asing yang berada di Malaysia melalui majlis pertemuan dan ramah mesra khas yang diaturkan di Dewan Senat Canselori USIM baru-baru ini.

Majlis kali pertama dianjurkan oleh USIM Alamiyyah ini melibatkan kehadiran Duta Republik Islam Gambia,  Tuan Terutama Abubacarr Jah; Duta Republik Islam Afghanistan, Tuan Terutama Atiqullah Atifmal;  Pegawai Kedutaan Republik Kenya, Puan Dorcas Rukunga dan Pegawai Kedutaan Jordan, Dr.Maen Moh'd Sodki Salem Masadeh.


Perbincangan dua hala ini dipengerusikan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato' Dr. Musa Ahmad dengan turut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi Universiti antaranya Prof. Dr. Zulkifli Abdul Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Dato' Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof. Dr. Roshada Hashim, Pengarah USIM Alamiyyah.

Melalui perbincangan dua hala ini, USIM berkongsi perkembangan terkininya terutamanya melibatkan bidang akademik yang ditawarkan dan perancangan strategik masa hadapan untuk menjadi institusi pendidikan tinggi Islam yang ulung. Manakala di pihak kedutaan, ia banyak menyentuh situasi semasa pendidikan tinggi di negara masing-masing, peluang rakyat mereka menyambung pengajian di Malaysia, penawaran biasiswa dan peluang kerjasama yang dapat diterokai oleh USIM dengan institusi pendidikan tinggi di sana.

"Sesi pertemuan yang diatur pada petang amat dialukan oleh Kedutaan untuk kedua pihak lebih mengenali dan bertukar pandangan. Sistem pendidikan di Malaysia sememangnya antara yang terbaik dan ia menjadi contoh kepada kami untuk mempunyai prasarana dan kelestarian pendidikan seperti ini” ujar Duta Afghanistan.

Bagi Pegawai Kedutaan Kenya, ia merupakan kunjungan rasmi kali pertama beliau ke kampus USIM dan bertemu dengan Pengurusan Universiti. “Pandangan pertama saya melihat kampus ini sudah membuatkan saya tertarik pada keindahan landskap kampus ini, ia sebuah kampus yang menawan. Saya gembira apabila dimaklumkan USIM akan melawat negara saya sebelum akhir tahun ini untuk rangka lawatan promosi pendidikan dan menerokai jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan yang bersesuaian”.

Sementara itu, Naib Canselor USIM turut berkongsi beberapa inisiatif Universiti dalam menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di sini seperti memperkemaskan lagi sistem permohonan kemasukan, kemudahan penginapan dan kebajikan para pelajar.

“Inisiatif baharu yang sedang diterokai oleh USIM Alamiyyah adalah untuk mewujudkan dana wakaf pendidikan untuk pelajar anatarabangsa. Melalui dana ini, kita dapat gunakan sebahagiannya nanti sebagai bantuan kewangan untuk pelajar antarabangsa yang memenuhi syarat pengajian tetapi kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di sini” ulas Naib Canselor.

Majlis perjumpaan bersama Duta-duta ini disusuli dengan jamuan minum petang dan ramah mesra bersama 150 pelajar antarabangsa USIM di Dewan Tuanku Canselor.

 

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)    

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)   

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1922 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my