USIM PENERAJU TAWAR KURSUS PENDIDIKAN ATAS TALIAN MENGGUNAKAN BAHASA ARAB

NILAI, 21 SEPT 2016 -  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini menjadi peneraju dikalangan Universiti Awam (UA) dalam menawarkan  kursus melalui platform Massive Open Online Course (MOOC) dengan menggunakan medium Bahasa Arab.  MOOC merupakan Koleksi Kursus Terbuka atas Talian yang ditawarkan oleh universiti awam dalam skala besar sama ada secara percuma atau dengan kos minima.

USIM mula menawarkan tiga kursus di dalam MOOC Kebangsaan pada 2015 secara percuma berteraskan Bahasa Arab dan Pengajian Islam iaitu kursus Fiqh Ibadah dan Munakahat, Bahasa Arab dan Pengajian Halaqah secara percuma. Pada tahun ini sebanyak empat kursus baharu lagi diperkenalkan iaitu MUET Oasis; Bahasa Arab Professional dan Teknologi; Obstetrics Care; dan Introduction to Counselling.

Kesungguhan USIM yang kini merupakan satu-satunya universiti awam yang menawarkan kursus MOOC Kebangsaan berkualiti menggunakan Bahasa Arab dibuktikan dengan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) bersama penyedia platform MOOC Kebangsaan iaitu syarikat Open Learning Global yang berpengkalan di Australia pada semalam (Selasa).


Melalui perjanjian ini, USIM dijangka akan dapat menjadi penyedia kursus-kursus pendidikan bertaraf antarabangsa dengan bersandarkan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Pihak USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad manakala Open Learning Global diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr. Adam Brimo dengan disaksikan YB Datuk Haji Md. Jais bin Haji Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.

“Perjanjian ini adalah untuk tempoh lima tahun dimana Open Learning  Global (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penyedia platform bagi kursus-kursus USIM MOOC yang boleh dicapai pada bila-bila masa  dan dimana-mana. Manakala USIM akan menyediakan kursus-kursus untuk ditawarkan kepada pelajar diseluruh dunia dengan hak cipta kandungan dan hak cipta data kekal di bawah USIM”.

“Kursus MOOC yang tawarkan mendapat permintaan yang baik. Mengikut kepada data semasa sehingga Jun 2016, seramai 968 pelajar dari lapan buah negara telah mendaftar untuk tiga kursus terawal MOOC USIM tawarkan pada 2015 lalu. Mereka yang berminat boleh mengunjungi laman sesawang https://www.openlearning.com/usimmooc untuk mendaftar” ujar Naib Canselor USIM.

Majlis menandatangani perjanjian ini turut melibatkan lima buah university awam yang lain iaitu Universiti Teknikal Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Teknologi Malaysia bersempena program International University Carnival on e-Learning (IUCEL) 2016 yang berlangsung di sana.

 

Disediakan oleh: 

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)   

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

71800 Nilai, Negeri Sembilan               

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 1653 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my