USIM TAWAR PENGAMBILAN KHAS PELAJAR BAHARU DARI KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN

NILAI, 14 SEPT 2016  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan tempat kepada 128 orang calon pelajar dari keluarga berpendapatan rendah iaitu RM 3000 ke bawah dan miskin untuk menyambung pengajian Sarjana Muda melalui kemasukan laluan khas yang disediakan oleh Universiti.

Program kemasukan laluan khas  kepada isi rumah di bawah RM 3000 ini dikenali sebagai Bottom 40% (B40) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dilaksanakan oleh Universiti Awam (UA). Ia umpama memberi peluang kedua kepada kumpulan pelajar ini untuk melanjutkan pengajian di USIM setelah tidak mendapat tawaran ke mana-mana UA apabila keputusan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) diumumkan pada 8 Ogos lalu.

Menurut Zulkifli Baharuddin, 19, anak keempat daripada lima beradik, berasal dari Klang, menyambung pengajiannya di USIM dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian.


"Saya bersyukur kerana diberikan peluang yang begitu bermakna buat diri saya dalam usaha untuk membela nasib keluarga, saya perlu berjaya dalam akademik dan saya memilih USIM kerana USIM merupakan antara universiti yang menerapkan ciri-ciri Islamik dalam pengajian yang ditawarkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini Khamis.


Zulkifli yang telah kehilangan bapanya sejak hampir setahun yang lalu, kini hanya berharap kepada abang iparnya yang menanggung perbelanjaan dia sekeluarga memandangkan ibunya menghidap sakit kulit dan tidak mampu bekerja.


"Sebelum ayah meninggal memang ayah letak harapan pada saya untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana dia tahu saya lebih cenderung kepada akademik," kata bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di Kampung Jawa Klang.

Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) USIM, permohonan kemasukan melalui saluran ini dibuat secara langsung ke BPA melalui borang khas yang disediakan. Calon yang memohon melalui B40 ini bukan sahaja perlu menepati kriteria pendapatan isi rumah yang dinyatakan, malah perlu memenuhi syarat am dan syarat khas yang ditetapkan oleh Universiti untuk dipertimbangkan.

Permohonan diterima untuk melanjutkan pengajian ke USIM melalui saluran B40 amat tinggi apabila secara keseluruhannya sebanyak 703 permohonan diterima dengan 262 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. 

Universiti menyambut baik pelaksanaan program B40 ini kerana ia dapat membantu golongan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti. Program ini juga merupakan medium pemudah cara bagi pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di universiti kerana mereka hanya perlu memohon secara terus menerusi borang yang disediakan.

Kumpulan pelajar laluan khas B40 ini akan mendaftar pengajian mereka di USIM pada esok hari, 15 September 2016 (Khamis) bersama-sama dengan  kumpulan kedua rayuan iaitu seramai 378 pelajar bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Pada sesi pendaftaran rasmi Universiti yang berlangsung pada 29 Ogos lalu, USIM telah menerima seramai 2067 pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2016/2017 yang terdiri daripada 577 lelaki dan 1490 perempuan.  

 

 

Disediakan oleh: 

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)   

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

71800 Nilai, Negeri Sembilan               

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

Maklumat Tambahan

Baca 3752 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my