USIM PENGANJUR SUKAN STAF ANTARA UNIVERSITI MALAYSIA (SUKUM 2016)

NILAI, 28 JULAI 2016 - Kejohanan SUKUM 2016 kali ke-41 yang akan bermula 6 hingga 13 Ogos 2016 menyaksikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai penganjur amat mengalu-alukan kehadiran 20 Kontinjen Universiti Awam seluruh negara yang terdiri daripada lebih 3600 orang atlet dan pegawai.

SUKUM 2016 bakal mempertandingkan sebanyak 17 acara iaitu Bola Sepak Senior, Bola Sepak Veteran, Badminton Berpasukan Campuran, Bola Jaring Senior, Bola Jaring Veteran, Bola Tampar Lelaki, Bola Tampar Wanita, Boling Padang, Catur, Dart, Futsal Lelaki, Futsal Wanita, Kerum, Tenping Boling, Tenis, Berbasikal, Olahraga dan Tarik Tali.


“Sebagai penganjur, USIM sedaya upaya membuat persediaan dari segi kemudahan dan fasiliti untuk keselesaan para kontinjen pada masa yang sama berusaha memastikan kelancaran semua acara nanti,” ucap YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

“Bagi USIM sendiri, keterlibatan kakitangan dalam SUKUM 2016 memberi kesan positif dari aspek sosial dan prestasi. Pengurusan Universiti menyokong penuh keterlibatan kakitangan dengan memberi pelepasan menjalani latihan selama 3 jam di sebelah pagi atau petang mengikut kumpulan sukan masing-masing,” ujar Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

“Penganjuran ini melibatkan seramai 250 sukarelawan pelajar malah kakitangan USIM turut serta menjadi urus setia membantu penyelarasan setiap acara yang dipertandingkan. Kita percaya setiap Universiti Awam turut membuat persiapan untuk memberi saingan sengit yang mana ia satu saingan sihat,” ujar En Nur Ekmal Buhary, Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan USIM.

Menariknya bagi acara berbasikal VIP bakal menyaksikan penglibatan Pengurusan Universiti USIM antaranya Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor malah Naib Canselor UTEM turut bertanding mewakili universiti.

“Acara berbasikal ini agak mencabar di mana ia melibatkan off road track, jalan berbukit dan di kawasan tidak rata yang  menonjolkan keunikan dan keindahan kampus sekitar USIM,” tambah Naib Canselor.

Turut hadir di majlis sidang media khas adalah Pendaftar USIM, En Haizuan Rozali; Pengarah Pusat Sukan USIM, En Hamran Husin serta pegawai kanan Universiti.

 

Disediakan oleh: 

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)   

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

71800 Nilai, Negeri Sembilan                

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

Maklumat Tambahan

Baca 2739 kali

Berita Kampus

  PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6281/6004, Faks: +606-798 8204, Emel: helpdesk[at]usim.edu.my